loader image

Hak pekerja yang dihentikan kerja di bawah Akta Kerja 1955.

  1. Siapakah “pekerja”?

“Pekerja” adalah orang yang memasuki kontrak pekerjaan dengan seorang majikan dengan  upah tidak melebihi RM2,000 sebulan. “Upah” adalah gaji pokok tidak termasuk komisen, elaun, bonus atau bayaran lebih masa.

“Pekerja” juga adalah orang yang tidak kira upah bulanannya dan melakukan kerja kasar seperti tukang atau perantis; mengendalikan kenderaan pengangkutan penumpang atau barangan untuk perniagaan; menyeliakan pekerja kasar dengan majikan yang sama; atau bekerja di sebuah kapal yang berdaftar di Malaysia selain dari pegawai bertauliah atau bersijil; dan pekerja domestik[1].   

2. Apakah yang perlu segera dilakukan oleh pekerja selepas dihentikan kerja?

Pekerja tersebut mesti membuat aduan kepada Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh 60 hari selepas dimaklumkan (secara lisan atau bertulis) pemberhentian kerjanya untuk membolehkan siasatan dijalankan[2].

3. Bagaimana dengan pekerja yang menerima upah melebihi RM2,000?

Walaupun Akta Pekerja 1955 terpakai sepenuhnya terhadap pekerja yang menerima upah tidak melebihi RM2,000 sahaja, pekerja dengan upah melebihi RM2,000 tetapi tidak melebihi RM5,000 sebulan  masih boleh membuat aduan kepada Pejabat Tenaga Kerja untuk menyiasat pertikaian mengenai upah atau bayaran tunai lain dibawah kontrak pekerjaannya. Peruntukan Akta mengenai kuasa Ketua Pengarah Buruh  untuk menyiasat aduan pekerja (Bah XV) dan prosedur siasatan (Bah XVI) masih terpakai untuk pekerja sedemikian tetapi peruntukan lain Akta tersebut tidak akan terpakai[3]. Hak lain pekerja sedemikian  adalah masih dilindungi di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan undang-undang kontrak lazim.     

4. Bagaimana Ketua Pengarah Buruh menjalankan siasatannya?

Ketua Pengarah akan mengambil aduan bertulis daripada pekerja dan tuntutannya. Selepas meneliti aduan tersebut Pengarah akan memaklumkan majikan mengenai tuntutan itu. Kemudian,  pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan, Pengarah akan mengambil keterangan bersumpah pekerja, majikan dan saksi masing masing. Keterangan mereka akan diperiksa melalui pemeriksaan soalbalas dan rujukan kepada dokumen-dokumen seperti surat perlantikan kerja, surat pemberhentian kerja, nota siasatan dalaman dan sebagainya[4]. Selepas itu Ketua Pengarah akan memberikan keputusannya dalam bentuk perintah bertulis.

5. Sekiranya tuntutan pekerja dibenarkan, apakah perintah yang akan diberikan oleh Ketua Pengarah Buruh?

Sekiranya Ketua Pengarah memutuskan bahawa penamatan kerja tersebut tidak mengikut terma-terma di surat perlantikan kerja dan/atau tidak mematuhi Akta Kerja 1955, beliau boleh mengeluarkan perintah untuk majikan membayar gantirugi dalam bentuk gaji ganti notis penamatan kerja, faedah penamatan kerja mengikut tempoh pekerjaan, gaji ganti cuti tahunan dan baki gaji (jika ada)[5].

6. Bagaimana jika majikan tidak  membayar gantirugi yang telah diperintahkan?

Majikan akan diperintahkan membayar gantirugi tersebut dalam tempoh  14 hari. Jika majikan masih tidak membayar gantirugi tersebut selepas 30 hari, faedah pada kadar 8% setahun akan dikenakan dari hari ke 31 sehingga penyelesaian penuh[6]. Kemungkiran pihak majikan mematuhi perintah tersebut adalah satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 dan juga denda tidak melebihi RM100 sehari sepanjang perjalanan kesalahan tersebut[7] .

Pekerja juga boleh memohon kepada Ketua Pengarah untuk perintah tersebut didaftarkan sebagai perintah Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret untuk membolehkan pekerja melaksanakan perintah tersebut sebagai satu penghakiman mahkamah[8].

7. Bagaimana jika pekerja atau majikan tidak berpuashati dengan perintah Ketua  Pengarah Buruh tersebut?

Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan perintah tersebut boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi terhadap perintah tersebut dan rayuan tersebut  mesti difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah tersebut[9].

8. Semua rujukan di atas nampaknya adalah kepada Ketua Pengarah Buruh, jadi apakah yang dimaksudkan sebagai “Mahkamah Buruh”?

Akta Kerja 1955 tidak merujuk kepada atau mengandungi terma  “Mahkamah Buruh”. “Mahkamah Buruh” hanyalah satu nama atau panggilan tidak rasmi yang merujuk kepada perbicaraan yang dijalankan oleh Ketua Pengarah Buruh tersebut.

R. Jayabalan


[1] Sek 2 dan  Jadual Pertama dibawah Akta Kerja 1955

[2] Sek 69(3)

[3] Sek 69(B)

[4] Sek 70

[5] Sek 12, 13, 60J dan Peraturan  Kerja (Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja    Sementara) 1980

[6] Sek 69(3A)

[7] Sek 69(4)

[8] Sek 75

[9] Sek 77

Related

Court affirms RM580,000 damages to woman injured during childbirth

The Johor Bahru High Court has ordered the government, Sultan Aminah Hospital, its director and 4 doctors to pay RM300,000, RM250,000 and RM30,380 in general, aggravated and special damages...

Dismissal for poor performance.

It is not uncommon for employers to deploy the grounds of ‘poor performance’ as means of dismissal of employee. This, is an abuse of employer’s rights and managerial prerogative. The...

New publicity rules for lawyers and law firms at Malaysian Bar 2026

The new publicity rules for lawyers and law firms at Malaysian Bar takes effect today 1.1.2026 – attached below. So what’s new? Some highlights: 1. Publicity can be via printed or...

Contact Detail

Follow Us

Newsletter

You have been successfully Subscribed! Ops! Something went wrong, please try again.

R. Jayabalan ©  | All Rights Reserved